![]() |
Qubbatussakhrah.blogspot.com |
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”
Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.
Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.
Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.
Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.
Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.
Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.
Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.
Zaman Remaja.
Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.
Zaman Dewasa.
Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.
Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.
Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:
“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”
Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.
Pembukaan Konstantinople.
![]() |
Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.
Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.
Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.
Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.
Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.
Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.
Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.
Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”
Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!
Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium.
Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.
Jum'at Bersejarah.
![]() |
Ilustrasi Peristiwa Jum'at Bersejarah (Film FETIH 1453). |
Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”
Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”
Sebahagian daripada tenteranya duduk.
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”
Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?
Sepuluh Strategi Kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih.
Kejayaan umat Islam pada tahun 1453 ini sangatlah besar maknanya. Ia berlaku selepas hampir 200 tahun umat Islam meratapi pembantaian bangsa ganas Tartar ke atas Baghdad, ibu kota Khilafah Islam Abbasiah.
Profesor Halil Inalchik dari Turki menyatakan kejayaan menamatkan riwayat Empayar Rom Byzantin ini hadir selepas 12 percubaan dilakukan umat Islam terdahulu, untuk menawan kota itu menemui kegagalan.
Siapa sangka sebuah bangsa yang jauh daripada Rasulullah S.A.W sama ada dari segi zamannya mahupun jasadnya di Madinah, namun akhirnya merekalah yang merealisasikan ramalan Rasulullah S.A.W.
Tiada yang mustahil bagi mana-mana bangsa untuk memerintah dunia apabila mereka berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam sebagai cara hidup.
Secara ringkas, saya rumuskan 10 strategi kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih sebagaimana dianalisis para sejarawan terkemuka seperti Profesor Halil Inalchik, Profesor Maksudoglu, Profesor Ilber Ortayli dan Shekh Ali Muhammad As-Sollabi.
Kesemua strategi ini dihasilkan Sultan Muhammad sebaik sahaja beliau dibaiahkan sebagai Sultan Osmaniah pada tahun 1451 Masihi.
3 Fakta Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih
Sebelum itu, ada 3 fakta penting yang mesti diambilkira sebelum kita membincangkan faktor-faktor strategik kejayaan Sultan Muhammad Al-Fatih:
#1 – Empayar Rom yang Berbeza
Empayar Rom Byzantin ketika misi Abu Ayyub Al-Ansari dan bangsa Arab tidak seluas empayar Rom Byzantin ketika misi bangsa Turki dan Sultan Muhammad.
Terima kasih kepada generasi sebelum Sultan Muhammad yang bertanggungjawab menyempitkan kuasa Kristian Orthodoks itu, sehingga ia menjadi sebuah kerajaan yang kerdil dan terpinggir sehingga memudahkan Sultan Muhammad untuk memberikan fokus sepenuhnya hanya kepada Konstantinopel.
#2 – Baginda Mewarisi Takhta
Sultan Muhammad mewarisi takhta kerajaan Osmaniah yang telah stabil tanpa perpecahan dalam istana, kaya sehingga mampu menaikkan gaji tentera, kental semangat jihad hasil dari kegigihan usaha ayahnya mendatangkan para ulama terbaik dari seluruh dunia untuk berada di Edirne.
#3 – Pendidikan Teratur & Seimbang
Sultan Muhammad melalui proses pendidikan yang kemas dan teratur, kurikulum yang seimbang dan menyeluruh mencakupi pendidikan spiritual dan intelektual, serta hubungannya yang sangat erat dengan Syekh Aq Syamsuddin, Mullah Qurani dan beberapa ulama tersohor yang lain.
Sekiranya Sultan Muhammad menaiki takhta pada usia 19 tahun itu tanpa empayar Byzantin yang sudah disempitkan, tanpa kerajaan yang stabil kedudukan politik dan ekonominya, tanpa pula wujud pendidikan yang seimbang ke atas beliau sendiri, belum tentu kemenangan ke atas Konstantinopel akan memihak kepada beliau.
10 Strategi Kemenangan Sultan Muhammad Al-Fatih
Berikut 10 strategi mencakupi aspek dalaman dan aspek luaran dihasilkan Sultan Muhammad Al-Fatih selepas beliau mengamati sedalam-dalamnya punca-punca kegagalan percubaan terdahulu.
#1 – Pengaruh yang Berpengaruh
Memastikan sokongan dan kesatuan sepenuhnya umat Islam terhadap hasrat Sultan Muhammad membuka Konstantinopel melalui peranan Chandarli Halil Pasya, ahli politik paling berpengaruh ke atas institusi tentera Janissaries dan Syekh Aq Syamsuddin, ulama paling berpengaruh di kalangan rakyat Turki.
#2 – Pengstrukturan Semula
Melakukan penstrukturan semula sistem birokrasi dan pentadbiran negara dengan perhatian khusus kepada sektor ekonomi, dan kos perbelanjaaan yang diperlukan untuk menuju Konstantinopel.
#3 – Menyamar dan Menyelidik
Sultan sendiri membuat penyamaran dan kemudiannya menghantar perisikan untuk terus menyelidik kekuatan dan kelemahan dalaman Konstantinopel, dari ketebalan tembok dua lapis dan kelemahan Greek Fire, hinggalah pada isu-isu semasa politik yang dijangka tidak memihak kepada Maharaja Konstantinopel.
#4 – Wujudkan Strategi Lumpuhkan Musuh
Membangunkan 140 buah kapal perang moden, 320 buah perahu, menyediakan angkatan tentera berjumlah seramai 150,000 orang, termasuk dua belas ribu tentera Janisari yang terlatih.
Kesemua ini sebagai persiapan mengepung secara berkesan Konstantinopel dari segenap arah, memenatkan musuh dan melumpuhkan senjata mereka melalui serangan bertali arus ke atas tembok tanpa henti.
#5 – Berfikir Sebelum Menghukum
Menunggu justifikasi syariah untuk menghukum Konstantinopel di samping menunggu masa, suasana, dan cuaca sebaiknya sebelum memutuskan tarikh sebenar kepungan dilakukan, supaya tidak akan berlaku sedikitpun kesilapan teknikal yang memungkinkan pengunduran semula ke Edirne.
#6 – Improvisasi Hubungan
Menyemak semula hubungan sedia ada antara kerajaan Turki dengan negara-negara Eropah dan Balkan. Serta menawarkan hubungan dagangan yang lebih baik dari tawaran pemimpin Osmaniah sebelumnya.
Perhatian khusus diberikan pada negara-negara jiran dan negara-negara yang bersekutu dengan Konstantinopel, supaya mereka memihak kepada Turki atau bersikap sekurang-kurangnya bersikap neutral apabila Konstantinopel diserang.
#7 – Minimumkan Talian Hayat
Memastikan Konstantinopel dipinggir dan dipencilkan dari sebarang ‘talian hayat’ dari selat Bhosporus.
Sultan Muhammad telah membina Rumeli Hissari di bahagian Eropah bertentangan dengan Anadolu Hissari di bahagian Asia dalam 149 hari sahaja.
Ia dibina untuk beliau menguasai sepenuhnya satu-satunya laluan berpotensi untuk sekutu Konstantinopel seperti Empayar Trebizond membantu Konstantinopel.
#8 – Bukit Galata
Memberikan perhatian khusus pada bukit Galata dan memastikan Galata bersikap neutral sepanjang tempoh perang.
Akhirnya kawasan bukit menghadap Bhosporus ini menjadi saksi tentera Sultan Muhammad Berjaya melayarkan 70 buah kapal-kapal ringannya, di atas bukit pada jarak hampir 5 kilometer untuk berlabuh di Tanduk Emas tanpa melalui sekatan rantai Byzantin.
#9 – Meriam Untuk Hidangan Tembol Tebal
Mencipta 4 buah meriam gergasi dan puluhan mortar untuk meremukkan tembok tebal 10 dan 15 meter Konstantinopel.
Meriam Basilica yang terbesar mempunyai berat 1,400 paun, pelurunya seberat 300 kilogram, memerlukan 2 jam untuk memasukkan satu peluru, mampu menembak 10 das tembakan dalam sehari, jarak capaian bom sekitar 2-3 kilometer dengan bunyinya sahaja boleh didengari pada jarak 20 kilometer.
Meriam ini dibina oleh seorang non-Muslim, namanya Orban dan dipindahkan dari Edirne ke Konstantinopel pada jarak 250 kilometer tanpa diketahui musuh.
#10 – Bangkitkan Semangat Tentera Allah
Memastikan spiritual tentera sentiasa berada pada tahap tertinggi. Peranan para ulama sangat besar dalam setiap battalion tentera.
Peristiwa pemindahan kapal di atas bukit selepas kekalahan tentera laut Palta Oglu, dan wujudnya tentera-tentera berani mati yang menggali terowong bawah tanah Konstantinopel adalah antara gambaran-gambaran menakutkan musuh, akibat daripada kentalnya didikan keimanan dan cintakan mati kalangan tentera Islam.
Sehinggalah kemuncaknya lahirnya para pemuda yang cintakan mati lebih dari hidup, rindukan syurga lebih dari kemenangan di dunia hingga Hassan Ulubate yang syahid di atas panji Islam yang dipacakkan di atas menara tembok.
VLAD III DRACUL Dan SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH.
Ketika ayah Vlad III Dracul menaiki takhta Wallachia,beliau diancam oleh para pesaingnya yang berpaksikan kepada kerajaan Hungary.Namun Empayar Turki Uthmaniyyah menyokong takhtanya dengan beberapa syarat.
Antaranya ialah menyerahkan anak-anaknya kepada Empayar Turki.
Sampai di Edirne,Turki,Vlad dan adiknya Radu bukan dipaksa menjadi hamba atau askar TETAPI DIDIDIK dengan kesusasteraan,pelajaran AlQuran,bahasa Turki serta akademik.
Bayangkan,’Count Dracula’ fasih berbahasa Turki dan mempelajari AlQuran.
Wallachia adalah satu wilayah yang sering direbut oleh Kerajaan Hungary,Bulgaria dan kemudiannya oleh ‘The Ottomans’ yang baru sahaja meranapkan empayar Byzantin.
Namun begitu Vlad memang memiliki sikap keras kepala dan sering dihukum kerana gagal mematuhi peraturan manakala adiknya Radu sering dipuji dan berkawan pula dengan Muhammad Al-Fatih (penakluk Constatinople) yang ketika itu adalah pembantu Sultan.Radu akhirnya memeluk Islam.
Vlad adalah seorang yang sadis dan pendendam.Ini mungkin kerana adik-beradiknya yang lain telah dibunuh kejam oleh para pesaing ayahnya iaitu para aristokrat Wallachia.Ayahnya dan abangnya Mircea telah dibunuh oleh para Boyar,iaitu satu pangkat yang biasa dipakai dalam bangsawan Moldavia,Bulgaria,Kievan Rus dan Wallachia.
Mircea telah dibutakan matanya dengan besi panas kemudiannya dikubur hidup-hidup.
Ini adalah antara faktor yang menjadikan ‘split personality’ yang memandu Vlad menjadi ‘Count Dracula’ yang realiti dalam sejarah.
Catatan dari Jerman menyatakan:
“Dia telah memanggang kanak-kanak, kemudian memaksa ibu mereka memakan daging itu.Dia memotong payudara wanita, dan memaksa suami mereka untuk memakannya.Setelah itu,dia menyula kesemua mereka itu”
Bukan sahaja orang-orang Turki disula ketika peperangan menentang Turki,malah para pedagang dari Jerman juga disula beramai-ramai,malah dia telah membunuh para petani di sepanjang sungai Danube merentasi Bulgaria tidak kira lelaki,wanita atau kanak-kanak ketika kempen Perang Turki-Wallachia 1426.Sampai ke hari ini,sumber-sumber dari Eropah Barat menyebut-nyebut tentang kekejaman Vlad sehingga digelar ‘Vlad Tepes’ yang bermaksud Vlad si Penyula.
Kisah Vlad belajar ilmu sastera,bahasa-bahasa dan AlQuran di istana Turki adalah benar-benar ‘Untold Story’.
Betapa Musa yang dididik Firaun menjadi Rasul,betapa Vlad yang dididik bersama Al-Fatih,menjadi ‘Dracula’.
Akhir Hayat Sultan Al-Fatih.
Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.
Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Allahu a’lam.
KISAH POTRET SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
Siapakah pelukisnya?
Pelukisnya ialah seorang Itali bernama Genti le Bellini. Dia dihantar oleh Senat Venice ke Istanbul pada tahun 1479 untuk bertemu dengan Sultan Muhammad al-Fateh atas urusan hubungan diplomatik. Dialah yang melukis potret baginda.
PEMBUKAAN KONSTANTINOPLE DAN SETERUSNYA.
Hadis Nabi bercerita tentang kedatangan Yakjuj Makjuj. Kedatangan tentera Khazar, Monggol dan Rusia juga ternyata gerombolan Yakjuj Makjuj. Namun Yakjuj Makjuj yang utama akan muncul selepas kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa al-Masih nanti.
Begitu juga dalam kes Pembuka Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya memang benar sebaik-baik raja dan tentera pada zaman mereka yang berjaya membuka Konstantinople, namun Pembuka Konstantinople yang utama akan tiba tidak lama lagi. Mereka juga sebaik-baik raja dan tentera, untuk penghujung akhir zaman ini.
Kita lihat apa yang dinukilkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitamy dalam kitabnya Al-Qaul al-Mukhtasor fi ‘Allamah al-Mahdiy al-Muntazor:
“Al-Mahdi akan memerangi Rom selama 3 hari. Pada hari ketiga itulah Rom runtuh. Kemudian menyerang Konstantinople. Ketika mereka membahagi-bahagikan emas di Konstantinople dengan memakai takaran perisi, tiba-tiba ada orang yang berteriak: “Sesungguhnya Dajjal telah menundukkan keluarga-keluarga kamu semua.”
“Al-Mahdi akan menundukkan Konstantinople dan Jabal ad-Dailam.” (Abu Nuaim)
Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya mereka menundukkan Konstantinople dan Rom dengan membunuh 40,000 jiwa……. Ketika mereka membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita kedatangan Dajjal…”
Sabda Nabi:
“Peperangan yang terbesar ialah tertakluknya Konstantinople. Dan keluarnya Dajjal ialah selama 7 bulan.”
Hadis riwayat al-Hakim:
“Sesungguhnya pasukan yang menundukkan Konstantinople ialah pasukan Hijaz……. Kemudian mereka dikejutkan dengan orang meneriakkan tentang kedatangan Dajjal.”
“Tertakluknya Konstantinople ialah keluarnya Dajjal.”
“Ketika menundukkan Konstantinople, Al-Mahdi menancapkan benderanya untuk mengambil wudhuk dan mengerjakan solat Subuh.”
Cuba perhatikan, penaklukan Konstantinople dikaitkan dengan al-Mahdi dan pra-kezahiran Dajjal. Maksudnya pembukaan utama Konstantinople belum berlaku. Ia akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tentera iaitu Imam Mahdi dan pasukannya.
Anda mahu jadi salah seorang ahli pasukannya yang sebaik-baik tentera itu? Bandingkan amalan anda dengan amalan para perajurit Pembuka Konstantinople yang pertama iaitu tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Tentunya kualiti tentera yang membuka akan membuka Konstantinople kali ini adalah lebih hebat daripada yang pertama. Layakkah anda?
Satu hal yang menarik, orang yang mengatakan Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam ialah Nabi Muhammad saw, Pembuka Konstantinople yang pertama ialah Sultan Muhammad manakala Pembuka Konstantinople yang utama ialah Muhammad bin Abdullah iaitu al-Mahdi. Ketiga-tiganya Muhammad.
Semoga Dengan Sedikit Cerita Tentang Al-Fatih,Dapat Menginspirasi Pembaca,(TINGGIKANLAH CITA-CITA DAN SEMAMGATMU UNTUK AGAMA,IN SHA ALLAH SUATU SAAT KHALIFAH AKAN TEGAK KEMBALI.ITU JANJI ALLAH).
Baca juga:
Catatan sejarah Sultan Abdul Hamid
Biography dan Perjalanan Imam Hanbal
Biography of Imam Syafie
Mentadabburi kemenangan Shalahuddin Di Hittin
Pasukan Pengaman Rasulullah
Tidak ada komentar:
Posting Komentar